Wednesday, September 21, 2016

Semangat yang hilang.....

Semarak impian, segunung harap dijulang. Usahlah diragukan keupayaan sendiri. Api yang membara mengikutkan kata apa. Jawapannya disini semangat kita yang hilang "

Penuh makna lirik lagu ni. Hidup memang penuh dengan dugaan dan cabaran. Adakalanya diri merasakan tidak cukup kuat untuk itu. Sebenarnya ujian yang diberikan itu sesuai dengan keupayaan seorang hamba. Cuma pemikiran yang kusut membuatkan segalanya jadi sukar. Ambil masa untuk bertenang dan percayalah apa jua rintangan yang datang mampu dihadapi.

Fremantle Port, Perth

Cari sesuatu yang boleh membuat diri yakin dengan keupayaan yang ada. Jangan gunakan kelemahan sebagai alasan untuk tidak mencuba bangkit dari kisah semalam. Bina semangat melalui pendekatan yang tidak terlalu kompleks. Mengembara salah satu usaha dalam membentuk kekuatan jiwa dan minda. Ianya juga boleh membantu dalam melupakan segala kekusutan yang membelenggu diri. Melihat setiap satu keindahan ciptaan yang Maha Esa membuat diri berasa kerdil. Saat itu pasti merasa bahawa terlalu banyak nikmat yang telah Allah s.w.t beri pada kita tanpa sedikit pun kurang. Namun, adakalanya kita kufur dan alpa. Terleka dengan kepalsuan yang tersergam depan mata tetapi buta dengan mata hati.

Menumbuk, Sabah

Terbentang luas alam ini untuk diterokai. Setiap satunya terselit seribu rahsia yang tidak mampu dirungkai dengan kata-kata. Ianya harus dirasai dengan hati. Dari situ, kita mampu untuk berdiri teguh untuk menyusuri denai kehidupan yang adakalanya tidak seindah mimpi. Ingatkan pada diri jangan sesekali meletakkan harapan yang tinggi selain dari Allah. Walau seteruk mana kita jatuh, pasti hikmahnya indah bagi insan yang sentiasa tabah dan sabar. Percayalah hikmah itu terlalu manis dan indah hingga tak terjangka ganjarannya.

Salam seorang sahabat,
Hafiz Ahmad (Aku budak kampung)

No comments:

Post a Comment