Saturday, February 3, 2018

Manusia dan Kesilapan

Manusia, makhluk ciptaan Allah s.w.t yang dijadikan sebaik-baik kejadian. Dikurniaankan hati dan perasaan serta akal dalam menyusuri bumi Allah yang penuh dengan keindahan tidak kurang juga dugaan dan cabaran. Namun, seringkali kita terleka dan terlupa hanya kerana leka dengan keindahan yang terbentang dihadapan. Tidak mengendahkan sesuatu perkara yang pada hakikatnya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia iaitu memakmurkan bumi Allah.




Kesilapan, datangnya tidak terduga. Menyapa saat terleka. Adakalanya sedikit pun tidak membuat jiwa rasa bersalah apatah lagi merasakan niat menhalalkan segalanya. Akhirnya terus hanyut dibawa gelombang dosa yang tidak merasakan tepian. Sesungguhnya Sang Pencinta itu Maha Penyayang. Diturunkan ujian agar tidak terus hanyut. Ditenjik hati setiap hambaNYA dalam pelbagai bentuk. Didatangkan seorang hambaNYA yang lain untuk menegur dalam hikmah. Diambil dari hambaNYA insan yang disayangi. Digantikan resah semalam dengan sinar kasih sayangNYA yang tidak pernah terhenti.




Saat itu, hati tersentuh dan airmata jernih mengalir membasahi pipi. Ketika itu juga merasakan betapa jauhnya diri dari Maha Pengasih. Namun, kisah semalam bukan penghalang untuk mencari sinarNYA. Langkah usah dibiar terhenti. Teruskan melangkah dan jangan sekali menoleh kembali jalan yang penuh dengan titik hitam. Biarkan semuanya menjadi sebuah pengalaman yang mendidik jiwa agar lebih matang dalam menilai setiap satu tindakan. Gunakan akal sebaik mungkin dan nilaikan dengan hati yang tenang.




Hari ini, jalan ini. Segalanya akan bersinar indah. Kesedihan dulu biarkan pergi. Cipta kemanisan untuk sebuah masa depan yang cerah. Jangan biar diri kembali mengalah dalam sebuah perjalan mencari redha Sang Pencipta yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Salam seorang sahabat,
Hafiz Ahmad (Aku budak kampung)

Wednesday, September 21, 2016

Semangat yang hilang.....

Semarak impian, segunung harap dijulang. Usahlah diragukan keupayaan sendiri. Api yang membara mengikutkan kata apa. Jawapannya disini semangat kita yang hilang "

Penuh makna lirik lagu ni. Hidup memang penuh dengan dugaan dan cabaran. Adakalanya diri merasakan tidak cukup kuat untuk itu. Sebenarnya ujian yang diberikan itu sesuai dengan keupayaan seorang hamba. Cuma pemikiran yang kusut membuatkan segalanya jadi sukar. Ambil masa untuk bertenang dan percayalah apa jua rintangan yang datang mampu dihadapi.

Fremantle Port, Perth

Cari sesuatu yang boleh membuat diri yakin dengan keupayaan yang ada. Jangan gunakan kelemahan sebagai alasan untuk tidak mencuba bangkit dari kisah semalam. Bina semangat melalui pendekatan yang tidak terlalu kompleks. Mengembara salah satu usaha dalam membentuk kekuatan jiwa dan minda. Ianya juga boleh membantu dalam melupakan segala kekusutan yang membelenggu diri. Melihat setiap satu keindahan ciptaan yang Maha Esa membuat diri berasa kerdil. Saat itu pasti merasa bahawa terlalu banyak nikmat yang telah Allah s.w.t beri pada kita tanpa sedikit pun kurang. Namun, adakalanya kita kufur dan alpa. Terleka dengan kepalsuan yang tersergam depan mata tetapi buta dengan mata hati.

Menumbuk, Sabah

Terbentang luas alam ini untuk diterokai. Setiap satunya terselit seribu rahsia yang tidak mampu dirungkai dengan kata-kata. Ianya harus dirasai dengan hati. Dari situ, kita mampu untuk berdiri teguh untuk menyusuri denai kehidupan yang adakalanya tidak seindah mimpi. Ingatkan pada diri jangan sesekali meletakkan harapan yang tinggi selain dari Allah. Walau seteruk mana kita jatuh, pasti hikmahnya indah bagi insan yang sentiasa tabah dan sabar. Percayalah hikmah itu terlalu manis dan indah hingga tak terjangka ganjarannya.

Salam seorang sahabat,
Hafiz Ahmad (Aku budak kampung)

Monday, September 19, 2016

Blog Yang Bersawang...

Tahun lepas menanam azam untuk kembali aktif menulis blog. Tapi sunyi sepi. Tak apa kita usaha untuk menulis kembali ya. Tahun ni banyak juga rezeki mengembara. Rugi rasanya jika tidak dikongsikan didalam ruangan blog. Walaupun banyak blog yang sudah bercerita mengenai tempat-tempat yang aku dah pergi. Tapi apa salahnya kan kalau aku berkongsi juga cerita dan juga bajet yang paling penting. Sedikit sebanyak memberi info pada yang ingin travel bajet macam aku. Hehehe.....

Anjung tinjau KLIA

Alhamdulillah sejak berpindah ke tempat baru banyak rezeki yang Allah bagi. Rezeki melihat negara orang. Belajar mencipta pengalaman melalui perkongsian jalan cerita dan kisah hidup masyarakat tempatan. Kamera tu baru beli (gigil gak nak bayar). Mengenai airlines, apa saja syarikat penerbangan yang menawarkan tambang murah pasti aku terjah. Ada juga beli untuk merasai pengalaman servis airlines tersebut. 


Hujung tahun lepas, bermula pada bulan oktober. Aku ke Brunei. Plan gila sahabat baik aku. Dia suka hati je call (Beb, aku dah booked tiket pergi Brunei). Dia bajet duit turun dari langit agaknya dan sebab dia la aku gila travel skang. Dia ada nasihat kalau aku nak belajar untuk kuat hadapi ujian Allah pergilah mengembara. Aku akan belajar bersyukur dengan nikmat Allah. Terima kasih sahabat sebab selalu bagi nasihat pada kawan kau yang jahil ni. Brunei sebuah negara yang sangat tenang. Rasa selamat kat sana. Ni ada sedikit gambar sewaktu di Brunei.




Dijeti Kampung Air

Pada hari konvo master (hujung bulan oktober gak gila kan travel dua negara dalam sebulan), aku fly ke Krabi petang tu juga. Benda gila aku buat. Sebenarnya tarikh penerbangan sehari sebelum konvo tapi terpaksa tukar tarikh (terbang duit dohhh). Tapi cuti punya pasal apadehal. Bayar sambil pejam mata jela. Ni gambar waktu ke Krabi (Oh man time ni aku masih slim lagi). Tom yam awesome gila beb. Kuah cair tapi rasa dia leh buat kau mau datang lagi. 




Dihadapan McD pantai Ao Nang


Penghujung 2015, dalam bulan December terbang pula ke Jakarta dan Bandung.Jakarta yang terkenal dengan macetnya. Bandung pun tak kurang juga tapi tenang aja. Banyak juga makanan Indonesia yang menambat hati aku terutamanya nasi kuning (sedap bangat). 



Serius sedap sampai rasa nak datang lagi (The Kiosk Jalan Dago)

Bagi kaum-kaum ibu yang ingin membeli belah tahap lupa diri. Boleh datang ke Bandung memang terbaik. Gunakan kuasa tawar menawar. Tawar harga serendah-rendahnya. Alang-alang dapat borong satu pasaraya tu. Ni sedikit gambar semasa di Jakarta dan Bandung.




Kanak-kanak ribena melompat keriangan (Monas, Jakarta)



Stesen Keretapi Bandung (Hotel depan stesen je)

Kemudian dalam April 2016, aku terbang ke Vietnam dan menaiki Vietnam Airlines (VN). Perkara yang best naik VN adalah makanan dia. Sampai hari ni aku rindukan puding pulut hitam dia. Sekali lagi bagi kaki shopping sesuai la ke sini. Murah juga harganya. Macam aku rembat beg jela tu pun cap ayam punya. Trip yang best ke Sungai Mekong. Sempat berjumpa sekumpulan traveller dari Malaysia. Kesesakan di HCMC ni pun agak hazab gak. Pengalaman tak boleh lupa hampir dilanggar kereta. Tentang makanan kat sini. Tak kena dengan selera aku. Nasib baik pek makanan Brahims. 




Abaikan muka mintak penampar tu (Pejabat Pos HCMC)


Pengembaraan kali ni yang paling seronok. Bulan May 2016, dapat merasa pengalaman ke negara Kangaroo. Ni pun benda paling gila. Terima kasih AirAsia X sebab buat tambang murah. Sebelum terbang banyak la study dulu tentang Australia. Imigresen yang sangat ketat dan kastam yang agak cerewet. Tapi alhamdulillah sewaktu aku sampai sana semua dipermudahkan. Benda paling jakun adalah waktu sampai di airport Perth. Mulut keluar asap weiiiii (kampung sangat time tu). Masyarakat Perth memang baik hati. Owh man aku rindukan Fish & Chips dia. Pengangkutan awam yang sangat efisien. In Shaa Allah kalau ada rezeki nak pergi lagi.



Dihadapan Perth Airport (Sejuk gila time ni)




Dapat bergambar dengan Kangaroo di Caversham Wildlife Park (siap ucapan hari guru lagi)

Dan waktu bulan Ramadhan ritu, dalam bulan Jun 2016 sempat juga terbang ke bumi Aceh. Melihat kembali kesan Tsunami sambil belajar muhasabah diri. Suasana Ramadhan di Aceh meriah juga. Dapat merasa pengalaman berbuka puasa dan bertarawih di sana. Saat di sana dapat juga merasa ketakutan yang dirasai oleh masyarakat Aceh. 




Dihadapan pintu masuk muzium tsunami Aceh

Rasanya cukup dulu disini. Akan datang cerita lebih terperinci akan menyusul. Semoga terhibur ya......



Salam seorang sahabat,
Hafiz Ahmad (Aku budak kampung)

Wednesday, August 26, 2015

Indahnya Sebuah Hikmah

Alhamdulillah penantian berakhirnya sebuah kisah akhirnya terjawab. Hari ni aku menerima surat senat yang mengesahkan bahawa aku telah menamatkan pengajian ijazah sarjana (Masters Degree) dengan jayanya. Bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan limpah kurnia rahmat dan kasih sayang NYA aku berjaya menempuhi semua ujian dan dugaan dengan tabah walaupun pelbagai sakit yang datang. Sesungguhnya sakit itu penghapus dosa.



Surat senat

Terima kasih yang tak terhingga buat bonda tersayang, Pn, Zaiton yang banyak memberi semangat,sokongan dan doa untuk aku terus berjaya. Buat arwah abah, En. Ahmad inilah hadiah dari adik buat abah. Abah banyak bagi nasihat dulu. Terima kasih abah. Adik beradik juga banyak memberi sokongan, terima kasih Long,Angah dan Uda. Tidak lupa juga sahabat-sahabat yang senantiasa ada disisi memberi semangat saat hati ini hampir mengalah dengan dugaan yang datang. Buat sahabat baik Hj. Amin yang sudah diibaratkan seperti kembar, terima kasih atas doa. Tidak lupa juga Che Lah roomate dan sahabat baik juga, semoga berjaya juga untuk PhD di UKM. Hazana member sengal dan gila yang membantu saat diri blurrr dengan research dulu. Juga insan-insan yang hadir memberi semangat walaupun hanya sebesar zarah jasa mereka. Aku tetap menghargai mereka. 

Tesis Ijazah Sarjana, M.Sc

Tesis yang tak seberapa indah ini menjadi tatapan untuk aku mengingati betapa banyaknya airmata dan keringat untuk menyiapkan. Mungkin ianya hanya naskhah biasa tetapi penuh makna. Didalamnya tersirat berjuta makna yang sukar dirungkai. Hanya yang melalui pahit getir sahaja tahu betapa pengorbanan ini berbaloi. Bagi aku ini bukan pengorbanan yang sia-sia selagi mana ianya bermanfaat untuk aku dan masyarakat. Abah pernah cakap kalau sesuatu itu mudah, tiadalah makna sebuah usaha. Ini jugalah harta yang abah wariskan sebab abah pernah berpesan "Abah tak ada harta untuk abah bagi pada anak-anak abah, belajarlah bersungguh-sungguh sebab ilmu adalah harta yang paling bernilai. Abah pun nak minta maaf sebab abah tak mampu bagi kemewahan harta untuk anak-anak abah". Untuk abah, kami anak-anak tak pernah menyesal dilahirkan didunia ini dibawah tanggungjawab abah. Kasih sayang abah dan mak pun dah cukup untuk kami.

Bagi yang baru memulakan langkah. Jangan mengalah kerana kemanisan sesuatu hikmah hanya akan dirasai bagi insan yang tabah dalam menyusuri sebuah perjalanan mencari ilmu dan redha Allah.

Salam seorang sahabat,

Hafiz Ahmad (Aku budak kampung)

Sunday, August 23, 2015

Kembali Menulis Blog

Rasanya dah hampir 5 tahun tak menulis blog. Kini nak kembali aktif. Post lama dah delete sebab semua tu post macam budak2. Hahaha..sekarang nak kembali menulis untuk perkongsian mengenai perjalanan mencari ilmu, pengembaraan dan mencari tempat makan yang sedap. Semoga terus istiqamah dalam penulisan blog.

Dalam 5 tahun, banyak pengalaman yang dapat. Ada suka, ada duka, banyak tawa dan airmata yang bersatu. Menamatkan pengajian sarjana muda pada tahun 2010, pemergian ayahanda tercinta 2011, memulakan langkah untuk sarjana penyelidikan pada 2011 (waktu ni rasa give up pun ada sebab abah dah takde), alhamdulillah 2015 tamat juga walaupun lajaknya bukan main lama....hehehe....buat research kan so kena redha kalau lambat habis. In shaa Allah September 2015 ni akan memulakan langkah baru dalam menuntut ilmu. Doktor falsafah, satu peringkat pengajian yang aku pun tak terfikir untuk sampai ke tahap ni. Sejarah pendidikan aku bukannya bagus dan cemerlang macam orang lain. Waktu sekolah aku dikatakan antara pelajar tercorot dan tak nampak langsung masa depan. Selalu kecewakan mak dan arwah abah. Tapi sekarang aku cuba buat mereka bangga walaupun aku tahu abah dah tak dapat nak senyum tengok aku berjaya.

Semoga dengan kembali aktifnya penulisan blog ni. Aku dapat berkongsi pengalaman hidup, berkongsi nasihat dan tips untuk mereka yang ingin berjaya walaupun aku tahu aku bukanlah bagus mana. Tapi selagi mana kita mampu beri yang terbaik untuk orang lain, janganlah kita kedekut untuk berkongsi walaupun sepotong ayat. Bagi aku kegembiraan itu adalah dimana aku dapat melihat senyuman pada insan yang aku bantu. Bagi yang suka mengembara jangan lupa untuk berkongsi juga pengalaman mengembara samada dalam mencari ilmu, melihat kehidupan masyarakat lain dan mencari redha Allah. Semoga segala perkongsian dapat menjalinkan sebuah ukhuwah yang indah.

Salam seorang sahabat,
Hafiz Ahmad (Aku budak kampung)